LEGENDA bola sepak dunia yang melakar pelbagai kejayaan bersama kelab ataupun pasukan kebangsaan sentiasa menjadi perhatian media apabila beralih menjadi jurulatih.
Bagaimanapun, trend kejurulatihan dunia dilihat bakal mengalami transformasi apabila kini terdapat jurulatih yang tidak mempunyai latarbelakang sebagai pemain profesional mampu menggalas tugasan penuh mencabar itu.
Terkini, sentuhan ajaib, Andre Villas-Boas, 33, yang membimbing pasukan Porto telah membuktikan bahawa pengalaman sebagai pemain bola sepak profesional tidak semestinya menjanjikan kejayaan apabila bergelar jurulatih.
Tatkala usianya mencecah 16 tahun, Villas-Boas memberanikan diri mendekati Sir Bobby Robson yang menetap di bangunan pangsapurinya. Robson ketika itu melatih pasukan Porto.
“Saya telah menyuarakan pendapat mengenai Porto dan amat mengejutkan apabila lelaki yang cukup terkenal dalam persada sukan bola sepak antarabangsa itu sanggup melihat pembentangan analisis saya.
“Dia banyak memainkan peranan penting dalam kerjaya saya. Ia sesuatu yang luar biasa apabila dia mempelawa menyertai sesi jurulatih pasukannya. Hanya individu mempunyai pemikiran terbuka seperti Robson akan berbuat demikian,” ujarnya.
Villas-Boas melakar sejarah tersendiri dalam dunia bola sepak antarabangsa apabila berjaya membantu Porto merangkul empat kejuaraan semasa musim pertama mengendalikan pasukan itu.
Lelaki yang sering dikaitkan dengan Jose Mourinho itu telah memecahkan pelbagai rekod ketika membimbing Porto menjadi juara Liga Portugal, Piala Super Portugal, Piala Portugal dan Liga Europa.
Tidak mahu dilabel Mourinho baru
Walaupun memenangi Piala Europa bersama Porto mengikut jejak langkah mentornya, Villa-Boas memberitahu, dia tidak mahu dilabel sebagai Mourinho yang baru.
Bapa kepada dua cahaya mata itu dilihat begitu sinonim dengan metodologi jurulatih Real Madrid yang digelar Special One tersebut.
Villas-Boas sebelum ini telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai peninjau pasukan dalam memberi informasi terperinci mengenai pasukan lawan ketika Mourinho mengemudi pasukan ternama Eropah seperti Porto, Chelsea dan Inter Milan.
Lelaki yang mempunyai penampilan kemas dan gemar melemparkan senyuman kepada media itu nyata berbeza dengan penampilan dramatik dimiliki Mourinho.
Dia lebih merendah diri malah sering memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pemain serta staf pasukan setiap kali meraih kejayaan.
“Ramai orang selalu fokus terhadap tugas seorang jurulatih tetapi saya tidak melihat ia begitu. Saya tidak melihat kejayaan akan diperoleh melalui individu sahaja.
“Kemenangan dalam perlawanan bola sepak tidak boleh ditunjangi oleh individu tetapi lebih kepada semangat berpasukan. Kejayaan sesebuah pasukan yang dikecapi pada hari ini adalah disebabkan pemain-pemain dan struktur kelab berkualiti,” katanya.
Jurulatih yang tidak pernah merasai pengalaman menjadi pemain bola sepak secara profesional itu menambah, dia memberi ruang secukupnya kepada pemain untuk meningkatkan kemahiran kerana cara tersebut dapat menguatkan mereka.
“Saya mengetengahkan bakat dan membiarkan mereka membuat keputusan sendiri. Tidak pernah ada diktator dalam pasukan ini malah tidak melihat permainan bola sepak sebagai permainan taktikal.
“Jika anda seorang diktator, pemain-pemain tidak akan dapat meneroka keupayaan sebenar mereka. Anda perlu membebaskan mereka,” ujarnya lagi.
Keserasian Villas-Boas
Dalam pada itu, ketua pasukan Porto, Helton da Silva Arruda menyifatkan Villas-Boas sebagai jurulatih dan sahabat kepada pemain-pemain.
“Kami sangat gembira mempunyai jurulatih seperti dia kerana memberikan kebebasan apabila beraksi di atas padang,” katanya yang merupakan benteng terakhir pasukan Porto.
Penyerang Porto, Givanildo Vieira de Souza yang meledak 23 gol sepanjang musim ini, pula memberitahu bahawa Villas-Boas masih muda dan mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap perkara yang berlaku dalam pasukan.
“Dia mempunyai kuasa dan mengetahui apa yang perlu dikatakan serta dilakukan bersama pasukan, malah telah ditakdirkan menjadi salah seorang jurulatih terbaik dunia.
“Saya tidak mengetahui rahsianya. Bagaimanapun, saya amat selesa apabila berkerja bersama dia,” kata Givanildo yang lebih dikenali sebagai Hulk.
Rebutan Kelab Ternama
Sementara itu, bekas penyerang Porto, Mickey Walsh percaya Villas-Boas akan menjadi sasaran utama kelab-kelab gergasi Eropah.
“Apa yang dilakukan Villas-Boas sebagai jurulatih Porto amat menakjubkan. Dia telah memadam pelbagai rekod malah membantu pasukannya merangkul kejuaraan liga domestik tanpa sebarang kekalahan.
“Dia tidak perlu memenangi Piala Liga Europa di Stadium Dublin untuk menuju puncak dalam karier kejurulatihan. Dia sudah sampai di sana dan bakal berada dalam senarai permintaan banyak kelab gergasi Eropah,” katanya pada pihak laman web berita dunia bola sepak, Goal.com.
Walaupun terdapat desas-desus mengenai kelab-kelab gergasi Eropah yang berminat mendapatkan khidmat jurulatih muda itu, Villas-Boas ingin terus kekal bersama pasukan Porto.
“Masa depan saya seperti yang anda tahu adalah bersama Porto. Saya tidak mengetahui terdapat kelab-kelab yang berminat mendapatkan khidmat saya.
“Ini merupakan kelab, tempat kelahiran saya malah berbangga berada di sini. Cita-cita saya tidak penting,” kata Villas-Boas.
Tidak seperti Robson, Villas-Boas berazam untuk menamatkan karier pengurusan bola sepak dalam masa singkat iaitu 10 atau 15 tahun sahaja.
“Objektif utama saya dalam kerjaya ini adalah untuk membina sesuatu yang dapat dibanggakan pada satu hari nanti. Saya tidak mahu menjadi jurulatih terlalu lama.
“Menjadi seorang jurulatih memerlukan pengorbanan masa dari anda dan keluarga. Saya tidak mahu hidup seperti itu dan hanya ingin meninggalkan legasi sepanjang kerjaya ini,” katanya.
sumber-kosmo
No comments:
Post a Comment