Home

Tuesday 5 April 2011

Spurs tekad tambah derita Real Madrid

MADRID - Rekod kebal Real Madrid di laman sendiri telah lebur awal pagi Ahad lalu.
Kini Tottenham Hotspur (Spurs) mahu menjadi pasukan terbaru yang berjaya meraih kemenangan di Santiago Bernabeu.
Spurs bertandang ke gelanggang keramat itu untuk bertemu Real pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Selepas kejayaan membawa Real mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2004, rekod cemerlang Jose Mourinho sepanjang 150 perlawanan kelab di laman sendiri tercalar apabila Real tewas 0-1 kepada Sporting Gijon.
Namun, Real masih boleh bermegah dengan rekod sembilan kali menjuarai kejohanan Eropah itu sedangkan Tottenham hanya sekali berjaya melangkah ke separuh akhir pada edisi 1962 sebelum tewas kepada Benfica.
Pengurus Spurs, Harry Redknapp tidak pernah bertemu Mourinho untuk aksi penting seperti itu biarpun mereka pernah bertemu sebelum ini ketika Mourinho membimbing Chelsea manakala Redknapp mengendalikan Portsmouth dan Southampton.
"Beliau (Mourinho) telah lima kali menewaskan pasukan bimbingan saya tetapi perlu diingat, Chelsea mudah menewaskan sesiapa dan saya ketika itu membawa Portsmouth," kata Red- knapp.
Mourinho kini sedang memburu gelaran pengurus pertama yang berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama tiga pasukan berlainan.
Namun, beliau kini menghadapi masalah kecederaan yang menimpa Marcelo, Karim Benzema dan juga Cristiano Ronaldo.
"Jika dia (Ronaldo) berpeluang untuk turun beraksi, ia suatu risiko yang perlu ditanggung dirinya dan juga saya sebagai jurulatih.
"Tetapi menurut maklumat daripada bahagian perubatan, dia tidak dapat beraksi dan hanya akan kembali apabila bertemu Athletic Bilbao.
"Tottenham jelas sebuah pasukan yang bercita-cita tinggi dengan barisan pemain dan pengurus yang baik. Mereka sebuah pasukan yang berbahaya," jelas Mourinho. - AFP

No comments:

Post a Comment