KUALA LUMPUR: Campur tangan Anggota Parlimen Australia dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai tindakan angkuh dan bertentangan dengan etika tidak mencampuri kedaulatan negara lain, kata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, surat yang ditandatangani 50 Anggota Parlimen itu juga boleh dianggap sebagai "tidak wajar dan tidak perlu" yang mencerminkan tindakan angkuh dan tidak bertamadun mereka berhubung perundangan dan senario politik Malaysia.
"Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan tindakan itu kerana saya beranggapan Yang Berhormat dan rakan-rakan telah "diperdaya" dan tidak mengetahui perkara sebenar kes itu serta orang yang terlibat," katanya dalam nota bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kecil Luar Negara Parlimen Australia Michael Danby, hari ini. Sebelum ini, agensi berita asing melaporkan bahawa lebih daripada 50 penggubal undang-undang Australia telah membuat bantahan rasmi meminta Malaysia menggugurkan pemimpin pembangkang itu daripada kes liwat.
Danby yang juga anggota Parti Buruh yang memerintah menyerahkan nota bantahan itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad pada Jumaat.
Dalam notanya, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menawarkan diri untuk bertemu Anggota Parlimen Australia bagi menjelaskan keseluruhan episod itu.
"Kesediaan saya untuk bersemuka dengan Yang Berhormat dan anggota Parlimen yang lain dengan tujuan untuk menjelaskan segala keraguan dan juga mengekalkan hubungan baik yang telah sedia terjalin selama ini.
"Saya berharap pertemuan ini akan meningkatkan lagi pengetahuan Yang Berhormat serta Anggota Parlimen lain tentang senario politik Malaysia," katanya.
Ibrahim berkata, dengan cara ini Anggota Parlimen Australia tidak akan terpedaya dan dengan itu tidak akan membuat andaian dalam kes-kes lain pada masa depan.
"Saya berharap Yang Berhormat akan menerima tawaran saya dengan minda terbuka tanpa prejudis, secara matang dan bijaksana, sikap yang sepatutnya dimiliki oleh ahli politik dalam negara-negara Komanwel.
Menyentuh kes itu, Ibrahim menegaskan bahawa dakwaan Anggota Parlimen itu bahawa wujud konspirasi di pihak kerajaan sejak Anwar yang mengetuai pembangkang mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Mac 2008 sebagai "tidak benar".
"Kes itu merupakan kes peribadi antara orang yang menuduh yang bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap defendan Anwar yang kebetulan adalah ketua pembangkang.
"Mohd Saiful telah membuat laporan polis dan polis pula telah membuat siasatan terperinci dan profesional yang berakhir dengan Anwar dibawa ke mahkamah pada masa ini," katanya.
"Bagi undang-undang di Malaysia, kes ini adalah kes jenayah dan oleh itu tiada elemen konspirasi seperti yang didakwa dalam surat Yang Berhormat. Jadi tindakan Yang Berhormat cuba mencampuri kes ini adalah tidak wajar," katanya.
Perkasa juga mengingatkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan agar tidak mencampuri kedaulatan Malaysia.
"Tentu sekali ada banyak lagi hal-hal dalam dunia yang luas untuk diselesaikan olehmereka daripada memberi tekanan kepada Malaysia untuk menggugurkan kes Anwar, melainkan mereka ada agenda tersembunyi yang saya tidak tahu.
"Seperti juga di negara Yang Berhormat, di Malaysia tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang dan Anwar yang juga ketua pembangkang pun tidak terkecuali," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment