Home

Friday, 8 April 2011

Pandian Cheliah rakyat Malaysia diculik di Ivory Coast

KUALA LUMPUR 8 April – Kementerian Luar mengenal pasti rakyat Malaysia yang diculik di Ivory Coast sebagai Pandian Cheliah, 46, yang bertugas sebagai Pengarah Urusan sebuah syarikat di Abidjan.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, Pandian yang berasal dari Melaka diculik bersama-sama tiga orang rakyat asing pada 4 April di Hotel Novotel, Abidjan, Ivory
Coast sebuah negara di Afrika barat.

"Bagaimanapun, lokasi di mana beliau dan tiga rakyat asing itu ditahan masih tidak diketahui.

"Kerajaan Malaysia sedang berusaha melalui saluran diplomatik dan pihak-pihak tertentu yang boleh membantu untuk mendapatkan pembebasan beliau,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi sembilan orang rakyat Malaysia dan anggota keluarga mereka di negara Afrika barat itu berada dalam keadaan selamat.

"Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan mereka bagi memantau perkembangan terkini dan sedang terus berusaha untuk memindahkan mereka keluar dari kediaman ke tempat yang lebih selamat.

"Bagaimanapun, memandangkan situasi yang masih tegang dan meruncing di Abidjan, mereka telah dinasihatkan supaya terus berada di rumah untuk ketika ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Keganasan yang meletus antara penyokong Alassane Quattara yang memenangi pilihan raya presiden di negara itu baru-baru ini dengan penyokong Laurent Gbagbo, calon yang kalah dalam pilihan raya itu telah mengorbankan hampir 1,000 orang dan menimbulkan ketegangan di negara Arika barat itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment